Cari Duit Online?
Banyak telah kita dengar pasal pelaburan seperti swisscash diperkatakan. Terdapat banyak lagi pelaburan seperti ini di internet. Tidak dinafikan ramai yang ingin jadi kaya raya dengan cara pendek dan mudah. Ada sesetengah dari kita pula berjaya mendapatkan duit melalui internet dengan menggunakan blog, program affiliate, google adsense, google adword dan pelbagai lagi cara.
Dengan teknologi tanpa wayar serta dunia tanpa sempadan ini, sesetengah dari kita yang celik internet telah mengambil peluang untuk beroleh sedikit keuntungan dari pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki. Bagi kita yang mendengar cerita khayalan dan dongeng sebelum ini tersentak apabila mendengar ada di kalangan kita memperolehi wang dari e-dagang, e-book dan pelbagai e lagi. Tidak semua bernasib baik kerana ada yang berhempas pulas sehingga bertahun lamanya untuk mencapai impiannya menjadi kenyataan. Ada yang hanya menggunakan hasil orang lain iaitu mangambil cerita, keratan, catitan, blog dari laman web dan pos di laman web sendiri. Sejak Google menjelma menggunakan sistem Page Rank, ramai di kalangan kita telah berebut-rebut untuk mendapatkan page rank yang tinggi tanpa segan silu mencedok hasil titik peluh orang lain.
Perkara yang pelik ialah rahsia mencari duit atau cara-cara memperolehi wang telah berleluasa kita dengar di internet. Tetapi yang menghairankan kenapa para saudagar dulu dan kini masih menyimpan resepi-resepi memperolehi keuntungan. Bill Gates atau Donald Trump telah bergelar billionaire dan jarang kita mendengar mereka ingin berkongsi resepi-resepi untuk beroleh keuntungan. Apa yang mereka buat ialah memberi nasihat serta tips-tips bagaimana untuk beroleh kejayaan.
Oleh itu, fikirkanlah dan mari kita renung bersama agar kita dapat membezakan yang realiti dan fantasi.




